Dua Beradik Ditahan Ragut RM19,000

Diterbitkan: Selasa, 21 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Dua beradik tidak sempat membelanjakan wang berjumlah RM19,000 yang diragut mereka daripada dua pekerja KFC Starmall Mentakab di Jalan Mok Hee Kiang di Mentakab apabila diberkas polis kira-kira tiga jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Abdul Aziz Salleh berkata kejadian berlaku pada 3.45 petang ketika dua pekerja KFC Starmall Mentakab dalam perjalanan ke ke Hong Leong Bank Mentakab untuk menyimpan wang itu.

"Ketika tiba di tempat kejadian, dua lelaki yang menunggang motosikal telah menolak seorang pekerja terbabit lalu meragut beg galas yang berisi RM19,000," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Seorang daripada suspek kemudian melarikan diri ke arah sebuah pasar raya selepas dikejar orang ramai manakala seorang lagi menunggang motosikal ke arah berlainan.

Polis dan orang ramai kemudian mengepung pasar raya itu dan kawasan sekitarnya sebelum dapat menangkap peragut berusia 17 tahun itu, yang bersembunyi di dalam longkang besar berhampiran pasar raya.

Abdul Aziz berkata berikutan penahanan remaja itu, polis dapat memberkas abangnya yang berusia 20 tahun di kediaman mereka di Taman Seri Layang Mentakab pada 12.30 malam tadi.

Hasil siasatan, polis menemui semula wang tunai itu, kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik milik mangsa selain merampas sebilah pisau, topeng muka dan sarung tangan daripada suspek.

Dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut di sekitar bandar Temerloh dan Mentakab sejak November lepas.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan