Tiada Tangkapan Dibuat Berhubung Lagu 'Kangkung' - Polis

Diterbitkan: Sabtu, 18 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis menafikan pemuzik Yuri Wong telah ditangkap kerana didakwa menggubah dan memuat naik sebuah lagu remix di YouTube berkaitan kenyataan yang dibuat oleh perdana menteri mengenai kangkung.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa mengesahkan bahawa Wong tidak ditahan.

"Kami tidak terlibat dalam sebarang penyiasatan mengenai perkara itu," katanya kepada 'The Star Online'.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah mengesahkan bahawa polis negeri tidak menjalankan siasatan ke atas pemuzik berkenaan.

Terdapat dakwaan di blog bahawa polis telah menahan Wong pada Khamis berhubung lagu yang disiarkan di Youtube dengan rakaman ucapan perdana menteri tentang harga kangkung.

Penyelaras kumpulan Jingga 13 Fariz Musa menulis di Twitter bahawa Wong telah ditangkap oleh polis berhubung lagu tersebut.

Beliau berkata 'posting' itu dibuat berdasarkan khabar angin.

"Kami mendengar bahawa dia ditangkap pada malam Khamis tetapi kita tidak pasti. Keesokan harinya kami mendengar bahawa dia hanya dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan. Kami cuba untuk menghubungi peguamnya untuk mengesahkan apa yang sedang berlaku," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan