Pasukan Khas Kesan Suspek Curi Cincin Berlian RM5.2 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 17 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan tiga wanita dan seorang budak perempuan, dipercayai warga asing, kerana melarikan sebentuk cincin berlian bernilai kira-kira RM5.2 juta, Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata pasukan itu, yang diketuai beliau sendiri, sedang mengenal pasti identiti suspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup.

"Polis percaya kesemua suspek masih berada di negara ini, dan polis sedang menjalankan operasi besar-besaran untuk menahan suspek," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Insiden itu berlaku pada kira-kira 3 petang di pusat jualan barangan kemas eksklusif di pusat beli-belah terkemuka Bukit Bintang apabila kesemua suspek masuk ke premis berkenaan untuk melihat barang kemas.

Budak perempuan berusia lingkungan lapan hingga 10 tahun dipercayai mengambil kunci laci dan mencuri cincin berlian itu sebelum meletakkan semula kunci berkenaan di tempat asal.

Khairi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan