Kehilangan Pistol Lebih Kepada Kecuaian - Polis

Diterbitkan: Rabu, 15 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Kes kehilangan pistol seorang anggota polis bersama dua kelopak peluru Ahad lepas didapati berpunca daripada kecuaian anggota itu, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati tidak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian itu.

"Kami memandang serius kejadian ini dan jika keputusan akhir siasatan mendapati kejadian akibat kecuaian, tindakan disiplin akan diambil," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Serah Tugas Komander PGA Briged Sarawak di Kem PGA Sarawak Batu Kawa, Rabu.

Dalam kejadian itu, senjata berkenaan dipercayai dicuri daripada anggota itu yang dikatakan mabuk dan tertidur dalam keretanya.

Kes kehilangan senjata itu turut dikaitkan dengan penemuan dua pistol yang mengandungi 21 butir peluru hidup jenis P99 yang difahamkan sama dengan peluru standard yang dikeluarkan untuk kegunaan polis di negara ini.

Ditanya berhubung penempuan mayat penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di anak sungai dalam kawasan kampus, petang Selasa, Law berkata polis masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Ketika ini terlampau awal untuk buat kesimpulan sama ada kematian disebabkan pihak lain," katanya yang meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang akan menggangu siasatan.

Berdasarkan pengecaman awal, mayat itu dipercayai Siti Najwa Atiqah Azhar berasal dari Pulau Pinang. Penuntut itu dilapor hilang sejak 4 Januari. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan