Polis Kedah Tumpas Dua Kumpulan Pecah Rumah, Curi Kenderaan

Diterbitkan: Selasa, 14 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim (tengah) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Nashir Ya (kanan) menunjukkan pelbagai peralatan pecah rumah dan curi kereta yang berjaya dirampas setelah menumpaskan dua kumpulan pecah rumah dan curi kereta yang aktif di sekitar daerah di negeri ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, Isnin. -fotoBERNAMA
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim (tengah) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Nashir Ya (kanan) menunjukkan pelbagai peralatan pecah rumah dan curi kereta yang berjaya dirampas setelah menumpaskan dua kumpulan pecah rumah dan curi kereta yang aktif di sekitar daerah di negeri ini pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, Isnin. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Polis menumpaskan dua kumpulan pecah rumah dan curi kereta yang aktif sekitar daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Yan, Kuala Muda dan Pendang pada pertengahan bulan Disember lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pihaknya menahan enam lelaki tempatan, merampas 10 kereta serta dua motosikal dengan nilai lebih RM700,000 selain merampas peralatan pecah rumah dan curi kereta.

Beliau berkata polis menahan tiga lelaki daripada Geng Faiz Char Koey Teow berusia 21 hingga 31 tahun, yang aktif melakukan pecah rumah dan curi kereta, serta tiga lelaki daripada Geng Tiong Hwa berusia antara 28 hingga 39 tahun, yang aktif melakukan jenayah mencuri kenderaan mewah.

"Geng Faiz Char Koey Teow menggunakan modus operandi dengan pecah rumah mangsa, mencuri pelbagai barangan termasuk kunci kereta dan melarikan kenderaan mangsa yang akan digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah di tempat lain pula.

"Apabila berlaku kemalangan, mereka tinggalkan kereta serta melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Isnin.

Ahmad berkata Geng Tiong Hwa pula aktif mencuri kenderaan mewah di sekitar Kedah dan kawasan lain seperti Lembah Klang untuk dijual di pasaran luar negara seperti Thailand.

Beliau berkata kedua-dua kumpulan mempunyai ramai anggota dan polis berjaya mengesan lokasi anggotanya yang masih bebas untuk didakwa bersama-sama mereka yang telah ditahan.

"Semua yang ditahan ada rekod jenayah lampau dan kes dadah. Bagi Geng Faiz Char Koey Teow, mereka ada 16 anggota dan kita telah penjarakan dua anggota mereka sebelum ini, tiga telah ditahan serta bakinya akan diburu," katanya.

Ahmad juga berkata penangkapan enam lelaki itu, yang ditahan reman sehingga 16 Jan ini, berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kereta, tiga kes samun dan curi kereta, tiga kes samun dan dua kes curi motosikal.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah dan Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pada 9 Januari lepas, polis menahan dua lelaki berusia 20-an dan merampas 900 gram heroin serta 202 gram syabu bernilai RM30,000.

Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempat mereka ditahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan