Ibu Tunggal Maut Dijerut Dengan Getah Paip

Diterbitkan: Selasa, 14 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MARANG: Seorang ibu tunggal ditemui mati dengan kesan jerutan getah paip pada leher di rumahnya di Kampung Baru Sungai Kerak pada Selasa.

Mayat Tengku Enong Tengku Muda, 68, ditemui kira-kira pukul 2 petang di dalam bilik air.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata mayat mangsa ditemui jirannya.

"Kita percaya getah paip digunakan untuk membunuh mangsa dan hasil siasatan awal, kita percaya motif kejadian berunsurkan samun," katanya.

Beliau berkata barang kemas mangsa seperti rantai, gelang tangan serta telefon bimbit turut hilang.

Mangsa dipercayai mengenali suspek kerana tiada kesan selongkar mahupun sepah di dalam kediaman mangsa, katanya.

Adik mangsa Tengku Omar Tengku Muda, 57, berkata beliau terkejut apabila diberitahu kakaknya meninggal akibat dijerut dengan getah paip.

Beliau berkata kali terakhir beliau berjumpa kakaknya dua hari lepas di surau berhampiran dan sering kali mengingatkan kakak sulungnya itu agar tidak memakai barang kemas.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan