Pengurus Kilang Kerugian RM30,000 Rumah Dimasuki Perompak - Berita Jenayah | mStar

Pengurus Kilang Kerugian RM30,000 Rumah Dimasuki Perompak

Diterbitkan: Isnin, 13 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Seorang pengurus kilang mengalami kerugian lebih RM30,000 apabila rumahnya di Lintang Bukit Penara di sini dimasuki tiga orang perompak yang bertopeng awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi apabila para perompak yang tidak bersenjata itu mengejutkan mangsa yang sedang tidur di bilik utama sebelum mengikat kedua belah tangannya.

"Perompak yang dipercayai warga Indonesia berdasarkan percakapan mereka, memasuki rumah berkenaan menerusi pintu gelongsor yang telah diumpil," katanya.

Mangsa baharu sahaja sebulan berpindah ke rumah teres tiga tingkat itu.

Mohd Hatta berkata antara barangan yang dilapor hilang ialah wang tunai bernilai RM12,000, set barang kemas serta berlian yang dianggar bernilai RM17,000, jam tangan berjenama, telefon bimbit dan komputer riba.

Beliau berkata pihak polis telah menugaskan unit anjing pengesan K9 untuk menjejaki ketiga-tiga suspek. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan