Tiga Mangsa Nahas Pesawat Cessna Selamat, Dua Cedera Teruk - Berita Jenayah | mStar

Tiga Mangsa Nahas Pesawat Cessna Selamat, Dua Cedera Teruk

Diterbitkan: Sabtu, 11 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pasukan petugas memberikan bantuan kepada salah seorang mangsa nahas pesawat Cessna di Ulu Yam.
Pasukan petugas memberikan bantuan kepada salah seorang mangsa nahas pesawat Cessna di Ulu Yam.

KUALA LUMPUR: Tiga mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat ringan di kawasan Ulu Yam di sini, petang Jumaat, ditemui selamat tetapi dua daripada mereka mengalami kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan perkara ini.

Saudara-mara mangsa datang ke Empangan Batu beramai-ramai untuk menenangkan ahli keluarga mangsa.

Dua ambulans yang membawa mangsa dilihat meninggalkan Empangan Batu pada pukul 7.56 pagi.

Mereka akan dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.

Sementara itu BERNAMA melaporkan juruterbang pesawat Cessna 172 dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) yang terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebelum dilaporkan hilang berjaya menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memaklumkan lokasi.

Juruterbang yang hanya dikenali sebagai Kapten Saiful, menyatakan bahawa beliau berada di kawasan bukit bertentangan dengan Empangan Batu.

Kapten Saiful juga sempat memaklumkan bahawa beliau tidak dapat mengesan dua lagi rakannya yang bersama dengannya dalam penerbangann latihan itu sebelum panggilannya kepada TUDM terputus dipercayai berpunca daripada kehabisan bateri telefon.

Kapten Saiful dan dua rakannya memulakan latihan penerbangan pada jam 4.50 petang, tidak dapat dihubungi melalui komunikasi radio oleh menara kawalan DCA pada pukul 5.15 petang Jumaat di kawasan sekitar Batu Caves dan Rawang.

Pesawat itu sepatutnya pulang ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur dalam masa dua jam.

Operasi mencari dan menyelamat yang telah dijalankan sebaik mendapat maklumat pada petang Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan