Polis Semak Tindakan & Keputusan Yang Pernah Dikeluarkan YDP Besut

Diterbitkan: Selasa, 7 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pihak polis akan menyemak segala tindakan dan keputusan yang pernah dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut sehingga keluarga dan kediamannya diancam dengan sasaran tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pihaknya percaya kejadian itu berpunca dari rasa tidak puas hati oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung keputusan dan arahan yang dibuat oleh mangsa.

Beliau berkata enam das tembakan yang dilepaskan ke arah rumah dan kereta Mercedes Benz CLK 320 mangsa pada awal pagi Isnin, jelas menunjukkan sebagai tembakan amaran bagi menakut-nakutkan mangsa.

"Jika individu terbabit ingin mengancam nyawa mangsa, mereka mampu lakukan sebelum ini ketika mangsa bebas bergerak ke mana-mana bersendirian.

"Namun individu berkenaan tidak melakukan demikian dan mangsa juga tidak pernah menerima sebarang ugutan. Mungkin tembakan itu hanya memberi amaran sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap mangsa," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Menurutnya pihak polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Oleh kerana kes tersebut diklasifikasikan sebagai ancaman, pihak polis seterusnya akan memberi perlindungan kepada keluarga mangsa dan Ketua Polis Daerah Besut akan menguruskan perlindungan kepada mangsa," katanya.

Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Ibrahim Mohamad, 55, di Kampung Gong Kepas kira-kira pukul 6.15 pagi.

Mangsa bersama isteri dan seorang anak mereka berumur 11 tahun berada di dalam rumah dan terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.

Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri Ibrahim keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat itu.

Manoharan berkata pihaknya telah menghantar jenis kelongsong peluru ke Unit Forensik Bukit Aman bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan