Anggota Polis Ditemui Mati Ditembak Selepas Kejar Dua Suspek

Diterbitkan: Isnin, 6 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang anggota polis ditemui mati ditembak pagi Isnin apabila petang Ahad gagal dihubungi selepas beliau mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah.

Koperal Abdul Halim Mat Ali, 48, ditemui mati dengan kesan tembakan peluru jenis penabur di bahagian muka dan dada di kawasan ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) dekat Jaya Gading, di sini, kira-kira 9 pagi Isnin oleh pekerja ladang.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kira-kira 6 petang semalam, mangsa dan tiga lagi anggota yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan itu terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

Dua lelaki itu didapati membawa dua laras senapang dan bertindak melarikan diri menyebabkan keempat-empat anggota polis dari Balai Polis Jaya Gading itu berpecah mengejar suspek, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Isnin.

"Mangsa kemudiannya gagal dihubungi, gerakan mencari anggota dilakukan polis Kuantan selepas itu," katanya.

Sharifudin berkata polis turut menemui satu daripada dua laras senapang patah itu yang ditinggalkan berhampiran motosikal mangsa.

"Mayat anggota terbabit yang berasal dari Melaka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat," katanya dan menurutnya motif kejadian sedang disiasat.

Beliau berkata polis kini giat memburu kedua-dua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan