Pelbagai Pihak Terus Buat Laporan Polis Bantah Himpunan Guling Kerajaan

Diterbitkan: Isnin, 30 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTAH... Pemandu teksi, Halim Abdul Rahman yang juga GABUNGAN, menunjukkan poster 'Demonstrasi Guling Kerajaan Politikus Desprado' bagi membantah rancangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan dan demontrasi menggulingkan kerajaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam Selasa. - fotoBERNAMA
BANTAH... Pemandu teksi, Halim Abdul Rahman yang juga GABUNGAN, menunjukkan poster 'Demonstrasi Guling Kerajaan Politikus Desprado' bagi membantah rancangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perhimpunan dan demontrasi menggulingkan kerajaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam Selasa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak terus membuat laporan polis di seluruh negara bagi membantah perhimpunan haram yang dikatakan untuk menggulingkan kerajaan.

Antara yang membuat laporan pada Isnin ialah Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GABUNGAN), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS), Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Kunak dan Pemuda Umno Putrajaya.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden GABUNGAN Datuk Mohd Alias Abdul berkata perhimpunan itu bukan sahaja menjejas imej negara, terutama dalam kalangan pelancong yang akan menyertai sambutan di ambang tahun baharu, tetapi juga perkhidmatan dan pendapatan mereka.

"Himpunan ini akan menyebabkan para pemandu teksi enggan ke tempat terbabit menyebabkan pendapatan pemandu teksi terjejas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Bagi aktivis pengguna PPIM Mohd Mustafa Hamzah, sejarah perhimpunan haram di negara ini jarang berakhir secara aman.

"Setiap kali perhimpuanan ini diadakan, pelbagai kekecohan berlaku dan keselamatan orang awam terjejas selain pendapatan harian peniaga kecil turut terjejas, pemandu teksi juga tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa. Kita memandang serius perkara ini" katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak polis mengambil tindakan keras terhadap kumpulan terbabit yang didakwa mampu menggugat keamanan dan ekonomi negara.

Di KUNAK, Sabah, Ketua Daerah OKK Hussin Pg Ombit, yang mewakili lebih 50 pemimpin akar umbi, komuniti dan pemimpin di peringkat kampung seluruh daerah itu, berkata pihak keselamatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penganjuran perhimpunan haram.

"Perkara seperti ini tidak harus dibiarkan dan saya sebagai pemimpin mewakili komuniti di daerah ini membantah perhimpunan seperti itu, juga kami membantah segala bentuk perhimpunan yang sama jika berlaku di daerah ini", katanya dalam satu kenyataan berikutan laporan yang dibuat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Isnin.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pemuda Umno bahagian itu Ahmad Faisal Abd Karim berkata tindakan harus diambil sama ada hari ini atau esok kerana banyak laporan polis telahpun dibuat di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan haram itu.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya perhimpunan haram ini yang berlangsung pada sambutan meraikan tahun baharu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam sidang media sebelum menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jaringan Kaseh Ixora Putrajaya Zarina Ismail berkata KDN perlu bertindak tegas dengan segera setelah pihak polis baru-baru ini telahpun mengumumkan empat pertubuhan dikenal pasti sebagai penganjur perhimpunan itu.

"Kami mahu KDN mengambil tindakan terhadap ketua pertubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia, Solidariti Anak Muda Malaysia, Jingga 13 dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yang jelas menyusahkan banyak pihak dalam menganjurkan perhimpunan pada waktu sama dengan sambutan meraikan tahun baharu di Dataran Merdeka," katanya.

Perhimpunan itu tidak mendatangkan sebarang faedah sebaliknya ia memberi kesan negatif yang boleh menjejaskan pendapatan para peniaga dan sektor pelancongan negara akibat keadaan yang tidak aman, katanya.

Di KINABATANGAN, Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian itu turut membuat laporan polis membantah perhimpunan berkenaan.

Laporan masing-masing dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Kinabatangan Aksyah Nasrah dan Ketua Wanita Umno Kinabatangan Aminah Johan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

Aksyah berkata laporan dibuat sebagai bantahan sekeras-kerasnya terhadap usaha menggulingkan kerajaan kerana yakin kerajaan sedia ada merupakan pilihan rakyat.

Beliau berkata adalah tidak wajar negara yang aman diporak-perandakan ekoran ketidakpuasan hati dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana cuba mengganggu-gugat keharmonian serta keamanan negara.

"Rakyat seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi melalui perpaduan rakyat negara ini.

"Proses pilihan raya untuk memilih kerajaan itu juga sudah berjalan, yang dibuat secara demokrasi dan berlangsung dalam suasana aman," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Laporan sama turut dibuat oleh Ketua Puteri Umno Beluran Julie Sabran di Ibu Pejabat Polis Beluran.

Di KULAIJAYA, Johor, Polis menerima 172 laporan di seluruh negeri berhubung penganjuran Himpunan Guling Kerajaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata kesemua laporan polis berkenaan menggesa pihak polis agar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat selain membantah penganjuran perhimpunan itu.

"Polis akan bertindak atas setiap aduan yang diterima dan semua laporan diserah kepada Polis Bukit Aman bagi menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kulaijaya yang baharu, Pegawai Turus Trafik Bukit Aman Supt Ruslan Khalidbagi menggantikan Supt Zulkefly Yahya, yang berpindah ke Bukit Aman dan mengambil alih jawatan Ruslan.

Hasnan berkata pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang maklumat sama ada perhimpunan sama akan diadakan di negeri ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan.

"Polis sentiasa bersiap siaga untuk bertindak mengikut lunas perundangan negara terhadap mereka yang berdegil kerana perhimpunan berkenaan hanya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan