Dua Cedera Dalam Letupan Gas Di Sebuah Pub Di Petaling Jaya

Diterbitkan: Rabu, 25 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja dan seorang pengunjung sebuah pub cedera akibat letupan gas di premis pub berkenaan di pusat beli-belah Jaya One, Seksyen 13, Petaling Jaya, dekat sini awal hari Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata dua lelaki itu mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah terkena serpihan letupan.

Beliau berkata kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an itu dilaporkan stabil dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Mohamad Sani berkata dalam kejadian itu pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.50 pagi dan menggegaskan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Siasatan awal bomba mendapati letupan itu berpunca daripada kebocoran gas di bahagian dapur pub tersebut. Setakat ini nilai kerugian masih lagi disiasat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan