Tiga Suspek Cuba Rompak Syarikat Pinjaman Wang Diburu

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu tiga lagi suspek yang cuba merompak sebuah syarikat pinjaman wang berlesen di Batu 4 1/2, Jalan Ipoh di sini Khamis lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata suspek yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu pada mulanya gagal memasuki premis itu apabila terperangkap antara laluan tangga dalam premis yang menempatkan syarikat itu.

"Akibat terperangkap, seorang daripada mereka yang berusia lingkungan 40-an dan memakai topeng melepaskan enam das tembakan ke arah pintu hadapan dan ruang tamu syarikat itu yang terletak di tingkat satu untuk melepaskan diri.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki bersama seorang wanita cuba untuk memecah masuk syarikat itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada masa yang sama, polis dapat menahan wanita itu bersama seorang suspek lelaki sementara tiga lagi rakan mereka dapat meloloskan diri.

Khairi berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan hanya kebetulan melalui premis terbabit untuk berurusan pinjaman wang ketika rompakan berlaku dan tidak terlibat dalam cubaan rompakan itu.

Katanya wanita berkenaan kemudiannya dibebaskan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan