Polis Perak Terpaksa Lepaskan Tembakan Apabila Cuba Dirempuh Kereta Suspek

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis terpaksa melepaskan lapan das tembakan selepas suspek kes pecah rumah dan samun cuba merempuh anggota polis yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas di Taman Desa Lawan Kuda, Gopeng di sini Ahad.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata kejadian berlaku pada 10.30 malam ketika sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat menahan sebuah kereta Proton Persona yang berada dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan.

"Sebaik polis menahan kereta yang dinaiki dua lelaki, masing-masing berusia 32 dan 33 tahun itu, suspek tiba-tiba mengundurkan keretanya dan merempuh kereta pasukan polis sebelum memecut dan cuba melanggar anggota polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Isnin.

Beliau berkata pihaknya terpaksa mengelak sebelum melepaskan tembakan sehingga kereta suspek berhenti dan polis memberkas mereka dengan seorang daripadanya cedera di kaki.

Paramasivam berkata pemeriksaan polis menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi memecah masuk rumah dalam kereta berkenaan iaitu tiga pemutar skru, spanar boleh laras, pisau lipat, playar, kuku kambing dan alat pemotong.

Turut dijumpai barangan kemas, jam tangan, komputer riba, kamera dan telefon bimbit. "Siasatan lanjut terhadap suspek juga membawa kepada penemuan beberapa barang lain dipercayai dicuri, antaranya seunit projektor, empat komputer riba, 14 telefon bimbit, empat kamera, sebilah pisau, tiga bungkusan wang syiling dan 10 utas jam tangan di rumahnya," katanya.

Paramasivam berkata pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Taman Badlishah dan Kampung Baru Buntong, Ipoh itu memiliki rekod kesalahan lampau bersabit kes curi, samun, pecah rumah serta penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata suspek berusia 33 tahun direman sehingga 25 Dis bagi membantu siasatan manakala seorang lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 28 serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil.

Dalam perkembangan lain, Paramasivam memaklumkan polis memberkas empat suspek, termasuk seorang wanita, yang disyaki menyamun sebuah kedai telefon di Kampung Tengku Hussein, Manjoi pada 11 Dis lepas. Beliau berkata dua lelaki, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, diberkas di Jalan Baru, Manjoi pada 1.30 pagi semalam. "Siasatan terhadap mereka kemudian membawa kepada penahanan dua lagi rakan mereka berusia 18 dan 29 tahun, seorang daripadanya adalah wanita.

"Keempat-empat suspek ini dipercayai terlibat dalam kes pecah kedai telefon di Manjoi yang membabitkan kerugian sehingga RM25,000," katanya.

Paramasivam berkata susulan itu, polis merampas sembilan telefon bimbit, 70 keping kad prabayar, dua tablet, sebuah beg dan tiga fon telinga.

Siasatan awal mendapati ujian air kencing menunjukkan kesemua suspek negatif dadah dan mereka yang turut direman sehingga 25 Dis bagi membantu siasatan, tidak memiliki rekod jenayah lampau, katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan