Kedai Emas Dipecah Masuk, Pemilik Rugi Setengah Juta Ringgit

Diterbitkan: Selasa, 24 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERTEH: Pemilik sebuah kedai emas di sini kerugian setengah juta ringgit selepas kedainya di Jalan Bukit Mok Mek di sini dipecah masuk perompak yang berjaya meloloskan diri melalui dinding yang ditebuk dari kedai sebelah.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata penjenayah memasuki kedai emas itu melalui sebuah lubang berukuran 45sm x 43sm yang ditebuk dari kedai menjual barang plastik, bersebelahan kedai emas itu.

Katanya penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang, berjaya memasuki kedai plastik itu melalui lubang sisip angin tandas sebelum melakukan kerja mengorek antara 8 malam tadi hingga 2 pagi ini pada dinding belakang kedai berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa mengetahui kejadian itu ketika berada di rumahnya selepas dihubungi pemilik kedai plastik kira-kira 9.10 pagi ini yang memaklumkan terdapat lubang di dinding kedainya yang menembusi kedai mangsa.

Pemilik kedai emas itu, Rahimah Mohamed Nor, 50, dan suaminya Ramli Saad, 55, tiba sepuluh minit kemudian dan mendapati pintu besi simpanan di kedainya ditebuk dan perompak melarikan semua barang kemas yang disimpan di situ termasuk wang tunai RM3,000.

Selain barang kemas untuk jualan, perompak juga melarikan barang kemas yang ditempah pelanggan.

Sementara itu, Rahimah berkata ketika berada di kedainya kira-kira 3 petang semalam, beliau didatangi dua lelaki berkulit cerah mahu menjual sebentuk cincin berlambang naga.

Bagaimanapun beliau tidak membelinya setelah mengesyaki sesuatu apabila mendapati mereka tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

"Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian beredar dan pergi ke kedai plastik itu," katanya.

Bernama difahamkan polis kini menjalankan siasatan melalui bukti yang diperoleh daripada rakaman litar tertutup (CCTV) sebuah hotel yang menunjukkan terdapat tiga lelaki asing menginap di hotel berkenaan sejak tengah hari semalam.

Berdasarkan rekod hotel di bandar Jerteh itu menunjukkan ketiga-tiga lelaki berkenaan mendaftar keluar pukul 2 pagi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan