Hampir 2,000 Iklan Ah Long Ditanggalkan

Diterbitkan: Isnin, 23 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Hampir 2,000 iklan pinjaman wang haram atau 'Ah Long' ditanggalkan di sini sepanjang tahun ini menerusi Op Cantas Along yang berakhir hari ini.

Operasi terakhir Op Cantas Along, yang dijalankan melalui kerjasama polis Shah Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu bagi menanggalkan iklan-iklan sindiket dijalankan di sekitar Seksyen 25 di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan sindiket tersebut beroperasi di luar daerah itu dan hanya iklan saja dinaikkan di kawasan Shah Alam.

"Masyarakat dinasihatkan jangan pinjam dengan lintah darat ini kerana ia hanya membawa keburukan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri operasi terakhir itu.

Beliau berkata setiap nombor telefon pada iklan itu juga dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disekat taliannya agar tiada pihak dapat menghubungi mereka.

Pegawai Penguatkuasa MBSA, Hairul Hanif Abdul Taib berkata sepanjang operasi tersebut tahun ini, seramai 15 lelaki yang berumur antara 17 tahun dan 23 tahun ditahan pihaknya ketika sedang menaikkan iklan-iklan tersebut.

Mereka, katanya, dikenakan tindakan kompaun kerana melakukan vandalisme.

Sasaran sindiket itu untuk menaikkan iklan mereka ialah tiang-tiang elektrik di tempat tumpuan awam, papan tanda jalan raya, kotak-kotak fius Tenaga Nasional, katanya.

Di KUALA LUMPUR, kira-kira 150 poster Along diturunkan di lima kawasan sekitar Ampang iaitu Bandar Baru Ampang, Kampung Melayu Ampang, Jalan Ampang, Jalan Kosas dan Jalan Pandan Indah pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata poster dan iklan pemberi pinjaman wang haram semakin berleluasa terutama di sekitar Ampang walaupun operasi menurunkannya sebelum ini dilakukan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Operasi akan diteruskan sehingga poster-poster itu habis ditanggalkan di sekitar Ampang, katanya ketika operasi itu hari ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan