Terperangkap Di Laluan Tangga, Empat Lelaki Gagal Rompak Syarikat

Diterbitkan: Khamis, 19 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cubaan empat lelaki dan seorang wanita untuk memecah masuk sebuah syarikat pinjaman wang berlesen di Batu 4 1/2, Jalan Ipoh di sini gagal apabila terperangkap di laluan tangga di dalam premis yang menempatkan syarikat itu.

Akibat terperangkap, seorang daripada mereka yang berusia lingkungan 40-an dan memakai topeng, melepaskan enam das tembakan ke arah pintu hadapan dan ruang tamu syarikat itu, yang terletak di tingkat satu, pada kira-kira 2.45 petang untuk melepaskan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata polis percaya wanita berumur lingkungan 20-an itu pernah berurusan dengan syarikat berkenaan.

"Melalui rakaman kamera litar tertutup, wanita itu dilihat berada di hadapan premis untuk memerhatikan keadaan sekeliling manakala empat lelaki itu masuk ke dalam premis dan terperangkap apabila pintu hadapan terkunci secara automatik.

"Pintu di bahagian atas pula ditutup selepas seorang pekerja menyedari kelibat mereka yang mencurigakan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, Khamis.

Beliau berkata kesemua suspek dapat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton berwarna hijau gelap bernombor WHN 8127.

Khairi meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan