Ops Cantas Khas: Polis Sabah Selesai Kes Pecah Rumah, Samun Berkumpulan

Diterbitkan: Khamis, 19 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kejayaan Op Cantas Khas menyaksikan polis Sabah berjaya menyelesaikan 20 kes samun berkumpulan, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar bandar raya sepanjang tahun ini dengan tertangkapnya 18 individu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata mereka yang ditangkap termasuk dua wanita dan kesemua mereka daripada tiga kumpulan berasingan.

Sepuluh daripada suspek yang berusia antara 18 hingga 38 tahun itu didapati positif dadah dan ditangkap sejak akhir bulan lepas hingga awal bulan ini di sekitar Kota Kinabalu, Keningau dan Tambunan.

"Lima anggota dari kumpulan yang dikenali sebagai 'Syamsir' diberkas apabila terlibat dalam sembilan kes curi kenderaan di sekitar bandar raya ini termasuk Karamunsing dan Inanam. Mereja ditangkap dalam dua serbuan dari 24 hingga 25 November lepas," katanya.

Tiga termasuk dua wanita pula dari kumpulan 'Boy' yang disyaki melakukan lima kes samun dan curi kenderaan di Kota Kinabalu serta Keningau dan ditahan pada 7 hingga 9 Disember lepas.

"Sepuluh anggota kumpulan 'Rakit' pula terlibat dalam 10 kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini dan ditangkap pada 12 hingga 14 Dis lepas," katanya dalam sidang akhbar, Khamis, selepas menghadiri perhimpunan bulanan peringkat kontinjen Sabah anjuran Cawangan Khas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.

Hamza berkata setiap daripada kumpulan terbabit mempunyai kepakaran tertentu seperti kumpulan Rakit dikenal pasti sebagai kumpulan paling agresif dalam melakukan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan.

Polis turut merampas 41 barang samun yang bernilai kira-kira RM685,000 termasuk menemui lima kenderaan yang dilarikan oleh kumpulan-kumpulan terbabit iaitu dua Toyota Vios, Isuzu Dymax, Perodua Myvi dan Nissan Vanette.

Katanya kejayaan itu melihat kepada kesan positif terhadap Op Cantas Khas yang dijalankan bagi mengekang jenayah terutama samun dan curi kenderaan di seluruh negeri ini.

Dalam pada itu, Hamza berkata polis turut mengenal pasti tiga premis pajak gadai di sekitar bandar raya ini yang terlibat dalam penjualan dan pemajakan barang kemas yang dicuri.

"Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu (ACP Jauteh Dikun) telah diarahkan untuk memantau premis berkenaan dan tindakan tegas akan diambil pada mereka yang melanggar Akta Pajak Gadai," katanya.

Hamza berkata maklumat serta kerjasama orang ramai amat dihargai bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di negeri ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan