Doktor Terselamat Kereta Dipandu Dihempap Papan Lapis Jatuh Dari Treler

Diterbitkan: Ahad, 15 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Seorang doktor terselamat selepas kereta yang dipandunya dihempap sejumlah papan lapis yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 124.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini malam Sabtu.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa Suraya Hashim, 29, yang memandu kereta seorang diri sedang dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak ke Sungai Petani, Kedah apabila sampai di lokasi berkenaan sebuah treler yang membawa papan lapis di laluan bertentangan terbalik manakala papan berkenaan menghempap kereta wanita itu.

Jurucakap polis berkata dalam kemalangan itu, treler terbabit membawa muatan ratusan kepingan papan lapis sedang dalam perjalanan dari utara menuju ke Selatan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, satu daripada tayar treler berkenaan meletup menyebabkan treler terbabas lalu melanggar pembahagi lebuh raya sebelum ia terbalik," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau berkata akibat hentakan yang kuat menyebabkan kabel pengikat papan lapis itu terputus dan menggelongsor ke arah bahagian hadapan kereta yang dipandu Suraya.

Katanya akibat kejadian itu, pemandu treler Ridzuan Abd. Karim, 40-an dari Batu Pahat, Johor cedera parah manakala Suraya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis itu berkata Ridzuan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk lebih 10 kilometer di kedua-dua arah lebuh raya itu.

Sementara itu, Suraya berkata beliau bernasib baik apabila kepingan papan lapis itu hanya menghempap bahagian depan kenderaannya.

"Saya bersyukur kerana sempat mengelak ke tepi walaupun saya menyedari kejadian itu seperti mati hidup semula," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam Sabtu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan