Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Seremban

Diterbitkan: Rabu, 11 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Dua penunggang motosikal termasuk seorang wanita warga Indonesia maut dalam kemalangan berasingan di sini pada Rabu dan malam Selasa.

Dalam kejadian pada Rabu, seorang wanita warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus dekat sini, pada kira-kira 8 pagi.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian itu mangsa yang dikenali sebagai Buhama dipercayai dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Pilah, mati akibat kecederaan parah di kepala dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

Buhama ditemui terbaring di dalam longkang di tepi jalan oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lalu terbabas sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh sebuah van yang berhenti di tepi jalan dari arah bertentangan di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini, 11.30 malam Selasa.

Jurucakap polis berkata mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Rembau maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Tiada pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk dibedah siasat.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kemalangan itu agar tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Supt Zainal Abu yang dihubungi mengesahkan kedua-dua kejadian itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan