Pelayan Restoran Nyaris Maut Bilik Sewa Musnah Dalam Kebakaran

Diterbitkan: Selasa, 10 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang pelayan restoran nyaris maut selepas bilik sewanya di tingkat tiga sebuah blok kedai tiga tingkat di Pekan Putatan dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira 10.50 pagi Selasa.

Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Jen Jik, 23, berkata ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur selepas bekerja sehingga lewat pagi dan tidak menyedari kebakaran di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu.

"Saya cuma tersedar apabila ada orang mengetuk pintu bilik dan minta saya segera keluar," kata wanita itu yang kelihatan masih terkejut, ketika ditemui di tempat kejadian.

Jen berkata dia meredah asap untuk keluar dari bilik sebelum api merebak dengan cepat dan membakar keseluruhan bilik sewanya.

Seorang pelajar, Nordina Basaruddin, 15, pula berkata dia berada di sebuah kedai berhampiran ketika melihat asap keluar dari satu daripada unit kedai di blok bangunan tiga tingkat itu.

Katanya semua orang yang berada di dalam restoran serta kedai kain dan tilam di tingkat paling bawah bangunan itu kemudian bergegas keluar meninggalkan premis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Hamsa Isnurdini berkata lapan unit rumah kedai menempatkan restoran, kedai kain dan tilam serta stor karpet dan farmasi musnah dalam kebakaran itu.

Hamsa berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 10.55 pagi sebelum menggegaskan lima jentera dari balai bomba Penampang dan Kota Kinabalu serta bantuan pasukan bomba tentera dengan kekuatan 45 anggota.

Katanya pihaknya dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke unit kedai bersebelahan sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.30 tengah hari.

Hamsa berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan