Jurukimpal Temui Bayi Perempuan Baru Lahir

Diterbitkan: Selasa, 10 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang jurukimpal menemui seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dengan cukup sifat di Lapangan Perdana 19 berhampiran kawasan rumah kedai baharu di Taman Lapangan Setia di sini, Isnin.

Chong Lean Fatt yang ketika itu sedang bekerja di kawasan rumah kedai menemui bayi tanpa pakaian itu di satu lorong di kawasan berkenaan pada pukul 10.20 pagi Isnin.

Chong berkata pada mulanya dia terdengar bunyi tangisan bayi namun selepas membuat pemeriksaan di kawasan itu dia tidak menemui bayi dan terus menyambung kerja.

"Tangisan bayi itu kemudiannya didengari seorang supervisor (penyelia) yang juga rakan saya. Kami memeriksa di kawasan belakang rumah kedai dan terkejut melihat seorang bayi dalam keadaan tertiarap di atas jalan tar tanpa berpakaian dan masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi.

Dia kemudian menghubungi polis sebelum bayi itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata bayi itu tidak mengalami kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.

Ahmad Termizi berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan kira-kira tiga jam sebelum dia ditemui. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan