Kes Samun Bersenjata Selesai Selepas Lima Ditangkap

Diterbitkan: Sabtu, 7 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Polis Tawau berjaya menyelesaikan kes samun berkumpulan menggunakan senjata membabitkan kedai serbaneka 24 jam di Taman Bintang di sini pada bulan lepas, selepas tertangkapnya lima lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata pada Sabtu, kesemua suspek warga tempatan dan berumur di antara 17 dan 28 tahun itu ditahan di sekitar Kampung Batu Payung, Tinagat dalam operasi selama dua jam bermula seawal pukul 5 pagi pada 28 Nov.

"Kejayaan ini dicapai selepas polis berjaya menahan 10 individu dalam serbuan itu. Selepas melakukan siasatan kami telah mengenal pasti lima daripada mereka terbabit dalam kes itu.

"Kes ini berjaya diselesaikan semalam atas hasil kerjasama di antara orang awam dan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya turut berjaya menemui semula dua telefon bimbit milik mangsa dan kereta yang dipercayai digunakan dalam kes itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi 23 Nov lepas, lima lelaki bertopeng dan bersenjata menyamun kedai serbaneka sebelum melarikan diri sehingga menyebabkan kerugian hampir RM10,000.

Ketika kejadian, dua pekerja kedai terbabit yang sedang bertugas turut mengalami kerugian selepas beberapa barangan peribadi mereka seperti cincin emas dan telefon bimbit disamun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan