Dua Remaja Maut Motosikal Bertembung Bas Rombongan Di Kuala Terengganu

Diterbitkan: Isnin, 2 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah bas rombongan di Kampung Sungai Ikan, di sini Isnin.

Kemalangan kira-kira 1.30 tengah hari itu berlaku ketika dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntong, Tepoh, di sini dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memukat ikan di Kampung Sungai Ikan.

Akibat pertembungan itu, Mohd Asri Natrah, 16, dan Farihin Tahit, 14, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi dua pelajar terbabit dari arah Felda Belara menuju ke Kampung Gemuroh cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal mengelak sebuah bas dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Baharu.

"Ketika kejadian, terdapat 31 penumpang bas yang merupakan rombongan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perak, dalam perjalanan ke Perak melalui jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu," katanya.

Pemandu bas berusia 61 tahun serta penumpang tidak cedera.

Zamri berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan