Wanita Taiwan Diculik Dalam Keadaan Selamat - KPN

Diterbitkan: Sabtu, 30 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Polis memberi jaminan keselamatan wanita warga Taiwan yang diculik di Pulau Pom-Pom, Semporna pada 15 November lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kes sedang diuruskan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina.

"Kami beri jaminan yang mangsa berada dalam keadaan selamat. Kami juga membantu keluarganya tatkala kami berusaha membebaskannya dengan kerjasama pihak berkuasa negara jiran," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini Sabtu.

Menurut Khalid, pasukan keselamatan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang mengkaji semula langkah-langkah keselamatan susulan insiden itu yang turut meragut nyawa seorang lagi pelancong warga Taiwan.

Beliau berkata, polis juga meningkatkan aktiviti kepolisian komuniti di pulau-pulau dan telah meminta pengusaha resort di pulau-pulau memberikan kerjasama penuh kepada anggota keselamatan.

Dalam kejadian pukul 1 pagi 15 November lepas, pelancong lelaki warga Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan pada badan, sementara rakan wanitanya yang berusia 58 tahun diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan