Pelajar Malaysia Maut Dalam Kemalangan Di Jawa Timur

Diterbitkan: Sabtu, 30 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren meninggal dunia pada Jumaat setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jawa Timur.

Shahrul Ramadhan Mazlan, 13, penuntut Pesantren Santri PP. Al-Qurroh Sondel Kaumrejo Ngantang, Malang dilaporkan hilang kawalan ke atas motosikal yang dinaikinya sebelum ia melanggar tembok jalan kira-kira pukul 8 pagi Jumaat.

Kemalangan berlaku di Jalan Raya Sumberagung, Ngantang.

Difahamkan Shahrul Ramadhan baru empat bulan menjadi pelajar tahfiz di pesantren itu.

Menurut Education Malaysia Indonesia, pelajar itu meninggal di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Hospital Umum Daerah Dr Saiful Anuar untuk bedah siasat.

Laporan Pemeriksaan Kematian menyatakan punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala.

Mangsa dilaporkan tidak memakai topi keledar.

Bapa pelajar berkenaan, Mazlan Ismail telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan telah memberi surat kebenaran kepada pihak pesantren dan Kedutaan Besar Malaysia untuk menguruskan pengkebumian jenazah anaknya di Malang.

Bapanya juga akan menyusul ke Malang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan