Sederet Lapan Rumah Kedai Di Machang Hangus

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MACHANG: Sederet lapan rumah kedai hangus dalam kebakaran di Kampung Membunga, Jalan Machang-Pasir Puteh di sini malam Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Zulkifli Osman berkata kesemua barang dalam kedai separuh papan berkenaan tidak sempat diselamatkan kerana api cepat marak dalam kejadian pukul 8.15 malam.

Antara kedai yang musnah itu ialah kedai cermin dan aluminium, kedai peralatan komunikasi, kedai runcit, kedai membaik pulih kusyen, kedai dobi dan bengkel kimpalan, membabitkan kerugian didakwa hampir RM500,000.

Empat jentera bomba dengan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah dan pasukan bomba sukarela bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu, katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata pihak bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari parit berdekatan kerana bekalan air yang disalurkan ke kawasan itu oleh Air Kelantan Sdn Bhd berada pada tekanan rendah.

Beliau berkata punca kebakaran sedang disiasat.

Sementara itu, pemilik kedai cermin dan aluminium, Shakran Ismail, 44, mendakwa mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila barang yang ditempah oleh pelanggan dan peralatan tidak sempat diselamatkan.

Katanya ketika kejadian beliau dan keluarganya sedang bersembahyang Isyak di rumah yang tidak jauh dari kedainya dan bergegas ke tempat kejadian apabila diberitahu menerusi panggilan telefon oleh rakannya.

Peniaga kedai peralatan komunikasi dan barangan runcit, Mohamad Dailami Adul Aziz, 38, berkata beliau menganggarkan mengalami kerugian hampir RM40,000.

Katanya ketika kejadian beliau sedang melayan pelanggan dan menyedarinya apabila melihat api dari kedai bersebelahan dan tidak sempat menyelamatkan barang dalam kedainya.

"Saya hanya sempat memindahkan kereta, itu pun nasib baik saya 'parking' di hadapan kedai," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan