Polis Sabah Rampas Empat Senjata Api Pelbagai Jenis Dalam Ops Cantas Khas

Diterbitkan: Rabu, 27 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas dua pucuk pistol dan dua laras senjata api buatan sendiri atau 'bakakuk' dalam bahasa tempatan, dalam tiga kes berasingan melalui Op Cantas Khas, sepanjang November.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah SAC Omar Mammah berkata tiga daripada senjata api berkenaan dirampas hasil serbuan ke atas dua buah premis manakala satu lagi dirampas dalam sekatan jalan raya.

Beliau berkata dalam kes pertama, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu menyerbu sebuah bengkel di Inanam, kira-kira jam 3 petang 6 November lepas dan menemui sepucuk pistol angin jenis revolver dan enam butir peluru getah yang dibungkus di dalam kotak plastik di dalam sebuah daripada bilik di bengkel itu.

"Dua lelaki masing-masing berumur 28 dan 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Selain itu, katanya, dua laras bakakuk, satu daripadanya jenis Air Rifel Automatik, pula dirampas hasil serbuan ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lipoi, Ranau, kira-kira jam 11.15 pagi, 20 November.

Omar berkata berikutan penemuan dua laras senapang berkenaan, seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam sekatan jalan raya di Jalan Lintas, Kota Kinabalu kira-kira jam 4 pagi, 21 November lepas, polis menemui sepucuk pistol jenis revolver di dalam sebuah beg milik seorang daripada lima lelaki yang berada di dalam sebuah kereta yang diperiksa.

Katanya kesemua lelaki berkenaan, tiga daripadanya rakyat asing berumur lingkungan 26 hingga 43 tahun, ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan