UPP Tahan 95 Warga Myanmar, Bangladesh Di Kawasan Berbukit

Diterbitkan: Selasa, 26 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Sebanyak 95 warga Myanmar dan Bangladesh termasuk 26 kanak-kanak yang memasuki negara ini secara haram ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan Sungai Batu Pahat dekat sini awal pagi Selasa.

Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman berkata mereka ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi oleh pasukan UPP kawasan Kuala Perlis di kawasan berbukit itu hasil maklumat awam.

Bercakap pada sidang media di Kem UPP Kuala Perlis pada Selasa, beliau berkata mereka yang ditahan ialah 81 warga Myanmar termasuk 26 kanak-kanak serta 14 warga Bangladesh.

Katanya mereka yang berumur lingkungan tiga hingga 40 tahun ditemui dalam keadaan keletihan selepas berjalan kaki dari Thailand melalui jalan berbukit sebelum tiba di Sungai Batu Pahat.

Siasatan mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan 81 warga Myanmar yang ditahan terdiri daripada 45 lelaki, 10 perempuan, 14 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

Kesemua 14 warga Bangladesh yang ditahan adalah lelaki.

Mereka yang ditahan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

Zakaria percaya masih banyak lagi warga asing terutama Myanmar sedang bersiap sedia untuk memasuki negara ini dari Thailand untuk membina kehidupan baharu.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak berkuasa termasuk UPP sentiasa memastikan sempadan negara ini terkawal daripada sebarang bentuk pencerobohan dan penyeludupan.

Katanya UPP menubuhkan pasukan rondaan khas bagi mengawasi keadaan sempadan dan berharap orang ramai akan terus memberi kerjasama kepada pasukan itu bagi mengawal sebarang bentuk kegiatan yang merugikan negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan