12 Termasuk Tiga Wanita Warga China Ditahan Positif Dadah

Diterbitkan: Ahad, 24 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seramai 12 orang termasuk lima wanita ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam serbuan di beberapa pusat hiburan di Taman AST, di sini, malam Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Baharom Othman berkata, kebanyakan ditahan adalah rakyat tempatan berusia antara 20 dan 30 tahun serta tiga warga China.

"Seramai 159 orang termasuk pekerja dan pengunjung di beberapa pusat hiburan serta rumah urut yang terdapat di kawasan itu diperiksa.

"Hasilnya, 12 pengunjung terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, dua wanita warga tempatan dan tiga wanita warga China yang didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini Ahad.

Katanya, semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh.

Sementara itu, Jabatan Imigresen negeri, yang turut menyertai operasi bersepadu bersama pasukan polis dilokasi sama, menahan tujuh termasuk dua wanita warga asing kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Faizal Fazri Othman berkata, semua yang ditahan itu terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Indonesia, Nepal dan Vietnam.

"Selain itu, kami juga menahan dua wanita masing-masing warga Indonesia dan Vietnam kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika di periksa," katanya.

Katanya, semua yang ditahan itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen, Lenggeng dekat sini untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan