'Tuhan Harun' Masih Dirawat - Pengarah Kesihatan Pahang

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pengarah Kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail pada Jumaat mengesahkan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saad, 47, sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya lelaki itu dimasukkan ke wad di HTAA petang Khamis.

"Buat masa ini pakar perubatan sedang memberi rawatan kepadanya, dia masih dalam pemerhatian pakar...sakit apa saya tidak dapat pastikan," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu beliau mengiringi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang berkenan melawat keluarga Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, Ketua Bahagian Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang, di kediaman Allahyarham.

Harun dilapor dimasukkan ke HTAA pada pukul 2.30 petang semalam selepas mengadu sakit dan menunjukkan tanda serangan angin ahmar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata kejadian berlaku ketika Harun berada di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan susulan perintah tahanan reman selama seminggu bermula semalam, bagi membantu siasatan kes bunuh Ahmad Raffli.

Abdul Aziz berkata beberapa tahanan yang berkongsi lokap dengan Harun memanggil polis selepas lelaki itu mengadu sakit dan mulutnya berbuih sebelum dia dibawa ke HTAA. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan