Penjawat Awam Wanita Kerugian RM209,000 Ditipu Kenalan Facebook

Diterbitkan: Khamis, 21 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal bukan sahaja sanggup membuat pinjaman bank untuk diserah kepada kekasih yang dikenali melalui laman sosial Facebook, malah wanita itu sanggup mencagarkan rumahnya.

Tindakan penjawat awam berusia 50 tahun itu yang percaya kepada lelaki rakyat asing menyebabkan dia kerugian kira-kira RM209,000 akibat diperdaya sejak Ogos lepas.

Menyedari menjadi mangsa penipuan jenayah siber (Nigerian Scam), wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu tengah hari Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata selepas dua bulan berkenalan dan bercinta, suspek memberitahu bahawa dia merupakan seorang kontraktor dan mahu memindahkan wang sejumlah US$10 juta (RM31 juta) ke negara ini namun alasannya wang itu tidak dapat dipindahkan.

Beliau berkata suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa dia perlu membuka akaun bank tempatan terlebih dahulu sebanyak RM9,000 dengan alasan sebagai menampung jumlah wang yang akan dipindahkan nanti.

"Suspek mengambil masa dan membuat mangsa jatuh cinta sebelum menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank dengan memberikan pelbagai alasan.

"Selepas mangsa membuka akaun tempatan dengan jumlah diarahkan, suspek kemudian meminta RM200,000 lagi untuk dikenakan cukai," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Koh berkata wanita itu sanggup membuat pinjaman bank untuk memberikan wang RM200,000 yang diminta kekasihnya ke dalam akaun yang sama dengan alasan sebagai Bon Sekuriti.

Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu kemudiannya mencagarkan rumahnya kepada pihak bank sebelum menyedari dirinya telah diperangkap lelaki yang mendakwa berasal dari United Kingdom itu.

Koh berkata sehingga November tahun ini, polis menerima 33 laporan berhubung penipuan jenayah siber di negeri ini yang membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta berbanding 15 kes tahun lepas melibatkan kerugian RM200,000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan