Polis Tahan Empat Suspek Curi Kabel Bernilai RM40,000

Diterbitkan: Selasa, 19 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia pada Isnin, disyaki terbabit dalam kes curi kabel bernilai RM40,000 di tapak projek sebuah kilang di Bayan Lepas, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata hasil risikan polis, lelaki tempatan berumur 49 tahun dan warga Indonesia berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar Bukit Tengah, Bukit Mertajam dan Seberang Perai dekat sini lewat petang Isnin.

"Kita juga mendapati warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai sebahagian besar kabel yang dicuri itu telah dijual," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Tengah, polis turut menjumpai enam mesin penebuk lubang, empat tukul gerudi, lima mesin pengisar dan satu mesin pemotong pelbagai jenama serta 12 ikat wayar tembaga dipercayai barangan curi.

Jumaat lepas, sebanyak 165 gulung kabel dilaporkan hilang selepas suspek yang dipercayai terdiri daripada empat hingga tujuh lelaki bersenjata parang panjang dan kayu, mengugut tiga pekerja yang menjaga kontena penyimpanan barang di tapak projek di Bayan Lepas pada pukul 4 pagi.

Mohd Hatta berkata polis percaya suspek mengangkut kesemua kabel itu menggunakan kereta curi dan siasatan lanjut mendapati mereka memotong mangga besi di pintu utama sebelum menceroboh masuk tapak projek berkenaan.

"Tiga daripada suspek bertindak mengangkut kabel itu sementara dua menjaga pintu masuk dan dua lagi dipercayai menunggu di kereta," katanya.

Katanya polis masih memburu tiga lagi rakan mereka yang masih bebas dan yakin akan dapat menahan kesemua suspek dalam masa terdekat.

Mohd Hatta berkata kesemua mereka kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan