Polis Sabah Tidak Tahu Tuntutan Pampasan Seperti Dilapor Media Taiwan

Diterbitkan: Isnin, 18 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihaknya tidak tahu menahu berhubung laporan media Taiwan kononnya keluarga mangsa culik di Pulau Pom Pom, Semporna, sudah dihubungi pihak tertentu bagi meminta bayaran pampasan.

Hamza berkata siasatan yang dijalankan setakat ini mendapati keluarga mangsa culik berkenaan belum dihubungi mana-mana pihak (untuk sebarang tuntutan).

Katanya pihaknya juga tidak pernah dihubungi pihak media Taiwan berhubung perkara itu namun menegaskan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi mengendalikan kejadian Jumaat lepas itu masih berjalan.

"Jika mereka nak buat tuntutan pampasan, mereka mahu menuntutnya dari siapa. Anda pun tahu bahawa wanita berkenaan bukan isteri mangsa yang mati. Kami sudah dapatkan pengesahan daripada pihak sebelah sana (pihak berkuasa Taiwan). Disahkan bahawa mereka bukan suami isteri tetapi hidup bersama," katanya.

Hamza berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid di sini Isnin.

Menurut Hamza polis Sabah menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut prosedur dan sehingga kini merakamkan lebih 20 keterangan berhubung insiden itu bagi membantu siasatan seterusnya.

Katanya polis Sabah juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Taiwan malah beberapa pegawainya sudah berada di Semporna untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Hamza berkata ada perkara yang tidak boleh didedahkan kepada media kerana ia mungkin boleh mengganggu siasatan memandangkan keutamaan pihak berkuasa ialah keselamatan mangsa culik agar dapat pulang dengan selamat.

Mengenai kemungkinan ada individu yang tinggal di Sabah terlibat dalam insiden itu, Hamza berkata perkara itu masih disiasat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan