KPN Sahkan Kejadian Culik Di Pulau Pom-Pom Semporna

Diterbitkan: Sabtu, 16 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan laporan kejadian culik dan bunuh membabitkan dua pelancong China, dipercayai suami isteri, di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah awal pagi Jumaat.

Beliau berkata polis sedang giat memburu kumpulan lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu.

"Kejadian melibatkan seorang pelancong lelaki warga China yang ditembak mati, manakala seorang lagi pelancong wanita yang kita percayai isteri mangsa telah dilarikan oleh kumpulan lelaki berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor Baharu di sini Jumaat.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Difahamkan kedua-dua mangsa menginap di resort di pulau berkenaan bermula Selasa lepas dan dijangka mendaftar keluar Rabu depan.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata setakat ini polis belum menerima apa-apa permohonan penggunaan senjata api daripada bahagian penguatkuasaan agama di negara.

"Ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi untuk pemohon miliki senjata api, jika penuhi syarat itu kita luluskan, Namun setakat ini kita belum terima (permohonan daripada jabatan agama)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahukan Anggota Penguatkuasa Jabatan Agama Islam dibekalkan dengan senjata api ketika melakukan operasi.

Berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abdul Malik, Khalid meminta saki baki 27 lagi pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun' supaya tampil membantu siasatan.

"Kalau tidak hadir, kita akan cari mereka dan mahkamah sendiri juga telahpun mengeluarkan waran tangkap untuk menahan ketua mereka yang gagal menghadirkan diri di mahkamah untuk perbicaraan," katanya.

Ahad lepas, Ahmad Raffli, 49, mati akibat ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan