Polis Rampas Dadah Bernilai RM11.52 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis dengan kerjasama Jabatan Kastam Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa di negeri ini setelah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah sintetik lebih 58 kilogram bernilai RM11.52 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil intipan bersama antara pasukan polis dan Kastam sejak beberapa minggu lepas, polis menyerbu sebuah kedai pajak gadai di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam dekat sini pada 10.40 malam Rabu lepas.

"Dalam serbuan itu kita menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan peniaga kedai pajak gadai dan merampas 16.325kg dadah jenis syabu yang disorok dalam dua silinder besi dan 1.109kg ketamin," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengarah Kastam Pulau Pinang Datuk Zulkifli Yahya.

Katanya, setelah menggeledah premis itu, polis menemui dua pucuk pistol tiruan jenis Colt's dan WE.

Beliau berkata, polis kemudiannya membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta milik lelaki terbabit dan menjumpai 40 bungkusan besar dan dua bungkusan kecil dadah jenis syabu seberat 40.898kg yang disumbat dalam lima silinder besi.

Noor Rashid berkata dalam serbuan di rumah lelaki itu di Jalan Bukit Kechil iaitu berhampiran dengan kedai pajak gadainya, polis menemui lagi satu bungkusan syabu seberat 92 gram dan wang tunai RM954,700 yang disembunyikan dalam satu silinder, dipercayai wang hasil perniagaan dadah.

Katanya polis turut menyita barang kemas dan empat buah kereta milik lelaki berkenaan yang kini direman tujuh hari untuk siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang dianggotai lelaki tempatan itu telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas dan mempunyai hubungan dengan sindiket dadah antarabangsa.

"Berdasarkan siasatan kita, dadah itu dibawa masuk dari China dan menjadikan Malaysia tempat transit sebelum ia diedarkan di beberapa buah negara jiran. "Sama ada lelaki yang ditahan itu merupakan dalang sindiket itu atau tidak, ia masih dalam siasatan tetapi kita akan jejak semua anggotanya berdasarkan maklumat yang polis ada," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan