Polis Bongkar Sindiket Pemalsuan Pasport Didalangi Warga Ghana

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan berikutan penangkapan dua beradik lelaki warga Ghana dan seorang wanita warga Filipina dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Pandan Indah, Ampang hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata serbuan pada 12.10 tengah hari itu menyaksikan rampasan sejumlah 95 pasport antarabangsa 30 negara, yang majoritinya dari benua Afrika, pas ketibaan serta 131 cop pelbagai negara, komputer riba, mesin pencetak, gambar pasport lelaki dan wanita, cecair peluntur, cop meteri, pisau kecil serta sejumlah Kod Bar Imigresen.

Beliau berkata hasil soal siasat mendapati sindiket itu aktif sejak dua tahun lepas dan suspek, yang berusia antara 31 dan 40 tahun, disyaki memalsukan pasport, visa serta mengubah tarikh dokumen perjalanan yang tamat tempoh untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi hab kepada kegiatan seperti ini," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mohd Shukri berkata seorang daripada suspek yang tinggal selama dua tahun di Malaysia, sering pulang ke Ghana membawa alat ganti kereta untuk dijual semula di negara itu dan polis ingin menyiasat sama ada ia barangan curi atau tidak. Beliau juga berkata sindiket itu mengenakan caj antara US$200 dan US$250 bagi setiap perkhidmatan pemalsuan yang mereka lakukan.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 473 Kanun Keseksaan iaitu membuat atau memiliki meteri, plat lancung dan sebagainya dengan niat hendak melakukan pemalsuan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada 8.30 malam hari yang sama, polis menahan seorang lelaki warga Guinea, seorang warga Senegal dan tiga warga Nigeria berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun di dua lokasi sekitar Ampang kerana disyaki memperdaya seorang kontraktor landskap warga tempatan, yang kerugian RM135,000 pada Oktober lepas.

Beliau berkata polis merampas sebuah beg bimbit mengandungi empat ikat kertas hitam yang dipotong berbentuk segi empat tepat yang didakwa boleh bertukar menjadi dolar Amerika daripada dua suspek di sebuah masjid sebelum menahan tiga lagi di Apartmen Permai.

Mohd Shukri berkata warga Guinea yang menyamar sebagai warga Jordan, memperdaya mangsa yang ditemui di sebuah masjid di Gombak dengan mendakwa mengenali seorang warga Saudi yang boleh menggandakan wang bagi menyelesaikan masalah kewangan seseorang.

Beliau berkata mangsa kemudian membayar RM135,000 dan satu upacara mistik memanggil 'Jin Maimunah' untuk menggandakan wang itu kepada US$100 juta dilakukan di Bukit Belacan, Ampang dan membungkusnya dengan kain serta dimasuk ke dalam sebuah kotak.

Suspek turut meminta bayaran tambahan sebanyak RM201,000 namun permintaan itu tidak mampu dipenuhi mangsa.

Bagaimanapun, mangsa mengesyaki ditipu apabila mendapati kotak berisi wang yang dibungkus dengan kain dan didakwa boleh bertukar kepada US$100 juta itu tiada dan melaporkannya kepada polis.

Mohd Shukri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua suspek ditahan reman empat hari sehingga Isnin ini.

Katanya, polis percaya banyak lagi kes penipuan melibatkan suspek yang tidak dilapor dan mereka yang ditipu diminta tampil membuat laporan. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan