Nelayan Dikhuatiri Lemas, Terjun Sungai Elak Polis

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JERLUN: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kuala Jerlun di belakang rumahnya ketika cuba melarikan diri dari polis pagi Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi di Kampung Kuala Jerlun di sini.

Ketua Operasi Balai Bomba Jitra Mohammad Darus berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.30 pagi dan menghantar dua buah bot dengan lapan anggota untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berumur 36 tahun.

"Unit skuba dari balai bomba Sungai Petani juga dipanggil untuk membantu mencari mangsa kerana difahamkan paras air sungai semalam adalah dalam dan deras.

"Kita mula operasi mencari dan menyelamat pada pukul 9.30 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari dan pada pukul 3 petang, anggota penyelam mula mencari mangsa di bahagian dasar sungai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mohammad berkata operasi akan dihentikan pada pukul 7 malam sekiranya mangsa tidak dijumpai, dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohd Yusuf yang dihubungi mengesahkan kejadian itu tanpa menjelas lanjut.

Adik lelaki mangsa Mohd Zahair Hashim, 33, berkata ketika kejadian dia dan abangnya itu baru pulang dari laut sebelum pihak polis membuat serbuan di rumah mereka. "Dalam pukul 2.30 pagi, polis datang buat serbuan. Kami semua terkejut dan abang terus lari keluar sebelum terjun ke dalam sungai," katanya.

Bapa mangsa Hashim Samah, 70, berkata ketika serbuan anaknya baru selesai mandi selepas tiba di rumah pada pukul 2 pagi. "Pakcik terkejut bila dengar riuh rendah kerana masa itu pakcik, makcik, empat anak dan tiga cucu semua tengah tidur apabila tiba-tiba polis serbu.

"Anak pakcik terkejut lalu dia terjun ke dalam sungai di belakang rumah kami," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan