Bot Karam: Anggota PGA Dikhuatiri Lemas, Tiga Laras Senjata Api Hilang

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) hilang hari ini dan dikhuatiri lemas selepas sebuah bot pasukan itu karam berdekatan Kampung Stoh Muda, Jalan Sempadi-Lundu, Lundu, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Mangsa dikenali sebagai Koperal Ahmad Zaidi Abdul Manan, 38, dari Batalion 11 PGA yang menaiki bot itu yang sedang menjalani latihan kira-kira 500 meter dari kawasan pantai.

Turut hilang dalam kejadian kira-kira 3.40 petang tersebut ialah tiga laras senjata api.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan, Wong Chee Keong ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Nor Hisham Mohamad berkata sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu bersama lapan anggota telah dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Bomba menerima laporan kejadian pada pukul 3.40 petang. Sebuah bot bersama seorang pegawai dan lapan anggota dihantar bagi membantu operasi mencari dan menyelamat," katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat pada hari ini telah dihentikan dan akan disambung semula pada 6 pagi esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan