Insiden Kereta Dilarikan Remaja: 10 Saksi Tampil Beri Keterangan

Diterbitkan: Isnin, 11 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 saksi tampil bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang remaja berusia 17 tahun melarikan dua buah kenderaan di kaasan rehat dan rawat Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata turut memberi keterangan ialah mangsa dalam kejadian itu.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden itu dan kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya. Sepatutnya reman akan tamat esok namun kita akan menyambung reman bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu," katanya ketika dihubungi, Ahad.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat.

Dua keluarga berdepan detik cemas apabila mereka 'dilarikan' bersama kereta masing-masing oleh seorang remaja lelaki dalam dua kejadian yang berlaku secara berturut-turut, bermula di kawasan rehat dan rawat Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil.

Selepas Nissan Grand Livina yang dilarikannya terbabas dan terbabit dalam kemalangan, remaja itu bertindak menahan serta melarikan sebuah kereta lain yang juga dinaiki sebuah keluarga.

Akibat kemalangan itu, seorang bayi koma dua hari selepas tercampak ke atas jalan raya manakala bapanya cedera di anggota badan serta retak di bahu manakala ibunya cedera di muka dan retak tulang rusuk. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan