Polis Tahan Enam Lelaki Dalam Ops Cantas Di Kuching

Diterbitkan: Ahad, 10 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Polis menahan enam lelaki dalam 'Op Cantas' lebih empat jam di sekitar bandar raya ini, yang bermula pukul 11 malam dan berakhir 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, yang mengetuai operasi itu, berkata penahanan dibuat hasil pemeriksaan terhadap 39 orang dalam operasi disertai 123 pegawai dan anggota IPD Kuching dan empat balai sekitar bandar raya ini.

"Empat ditahan selepas didapati positif dadah. Dua lelaki berusia 37 dan 21 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua lagi berusia 20 tahun dan 18 tahun positif dadah THC," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata dua lagi lelaki ditahan selepas didapati membawa senjata berbahaya.

"Lelaki pertama berusia 24 tahun, ketika diperiksa membawa sebatang cota besi dan pisau manakala lelaki kedua berusia 23 tahun ditahan kerana polis menjumpai kerambit ketika pemeriksaan dilakukan," katanya sambil menambah kesemua suspek kini ditahan di lokap dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Polis turut mengeluarkan sebanyak 39 saman membabitkan pelbagai kesalahan dan menyita tujuh motosikal. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan