Pensyarah, Dua Pelajar UTAR Sesat Ditemui

Diterbitkan: Ahad, 10 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAMPAR: Seorang pensyarah dan dua pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sesat ketika mendaki Gunung Bujang Melaka di Kampung Batu Berangkai di sini Sabtu ditemui pukul 12.45 tengah hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata pensyarah Tang Ying Ying, 35, dan pelajarnya Goh Kae Min, 22 dan Yap Suan Zi, 21 ditemui kira-kira 500 meter dari empangan Sungai Kichap di gunung itu.

"Kesemua mangsa ditemui oleh lapan anggota bomba dan dua anggota polis. Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung semula pukul 7 pagi tadi melibatkan seramai 117 anggota pasukan keselamatan antaranya polis, bomba, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan bomba sukarelawan.

"Pelbagai cara kita lakukan untuk mencari mangsa termasuk menggunakan perkhidmatan 'trackers' selain menggunakan helikopter dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia Sungai Besi," katanya sambil menambah mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk pemeriksaan lanjut.

Penolong Pengarah bahagian Latihan Bomba Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa tidak boleh turun berikutan keadaan di kawasan itu yang sangat cerun.

"Sejak malam Sabtu kita hubungi mangsa melalui SMS...namun mereka masih tidak ditemui. Saya SMS mereka semula pagi ini dan mereka mengatakan dengar bunyi lori, oleh itu saya kecilkan kawasan mencari," katanya.

Mangsa yang turut dengar bunyi siren dan letupan mercun lebih memudahkan pasukan keselamatan mengesan mereka, katanya.

Ketiga-tiga mangsa dari cawangan UTAR Kampar mendaki gunung tersebut pada pukul 6 pagi semalam untuk tujuan latihan akademik.

Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang mangsa telah menghantar SMS seorang pelajar UTAR dengan menyatakan mereka sesat dan tidak tahu kedudukan mereka sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan