Bayi Mangsa Kereta Dilarikan Remaja Kembali Ke ICU

Diterbitkan: Ahad, 10 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bayi lelaki yang menjadi mangsa dalam kejadian kereta dilarikan seorang remaja di Dungun Isnin lepas, kini dipindahkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Muhammad Ashraf Ikhwan, yang berusia sembilan bulan, dipindah ke ICU sejak dua hari lepas setelah beberapa hari menerima rawatan di wad kanak-kanak.

Pirhat Karim, 34, berkata anak sulungnya itu berada dalam keadaan stabil namun doktor belum memberitahu punca Muhammad Ashraf dipindah ke wad berkenaan selepas ditempatkan di wad biasa 6 November lepas.

"Kami juga tidak pasti mengapa anak dimasukkan semula ke ICU dua hari lepas dan kami masih menunggu keputusan doktor, bagaimanapun doktor memaklumkan dia dalam keadaan stabil dan sihat," katanya ketika dihubungi.

Pirhat berkata sebelum ini, beliau memohon untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, Kelantan namun buat masa ini, belum boleh berbuat demikian.

Katanya, beliau berhasrat mendapatkan rawatan lanjut di kampung isterinya itu kerana dekat dengan anggota keluarga selain lebih mudah untuk menguruskan anak dan isteri, Che Mastura Che Awang, 31.

Pirhat berkata Che Mastura sepatutnya menjalani pembedahan kecil namun terpaksa ditangguh untuk menjaga Muhammad Ashraf.

Keluarga Pirhat antara dua keluarga yang berdepan detik cemas apabila mereka 'dilarikan' bersama kenderaan masing-masing oleh seorang remaja lelaki dalam kejadian yang bermula di kawasan rehat dan rawat Lebuhraya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil, Isnin lepas.

Kereta keluarga Pirhat terbabas dan terbabit kemalangan ketika dilarikan, dan remaja itu bertindak menahan serta melarikan kereta yang dinaiki satu lagi keluarga.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Ashraf tercampak ke atas jalan raya dan koma selama dua hari manakala Pirhat cedera di anggota badan, retak di bahu manakala isterinya cedera di muka dan retak tulang rusuk. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan