Polis Selamatkan Lima Lelaki Myanmar Jadi Tebusan

Diterbitkan: Rabu, 6 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang lelaki Myanmar membuat laporan polis selepas menyedari adiknya diculik, dapat menyelamatkan empat lagi lelaki yang menjadi mangsa tebusan di sebuah bilik di Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi, dekat sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis juga dapat menahan suspek tiga jam selepas menyelamatkan kesemua lelaki warga Myanmar keturunan Rohingya yang berumur 16 hingga 40 tahun itu.

"Pada Ahad lepas, lelaki itu membuat laporan polis selepas menerima panggilan telefon mengarahkannya memasukkan wang tebusan RM11,000 bagi membebaskan adiknya yang diculik di Rawang ketika keluar mengirimkan wang kepada keluarga mereka di kampung," katanya.

Bertindak atas laporan itu, beliau berkata pada kira-kira 1 pagi Selasa, polis menyerbu sebuah bilik di pusat peranginan itu sebelum menemui kesemua mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan dalam keadaan diikat dengan rantai besi.

Suspek menggunakan bilik yang diberikan majikannya untuk mengurung mangsa.

"Siasatan mendapati tiga daripada mereka datang dari Johor dan seorang masing-masing dari Kemaman, Terengganu dan Rawang, Selangor," katanya.

Abdul Rahim berkata berdasarkan maklumat mangsa, polis menahan suspek yang bekerja di bahagian penyenggaraan di pusat peranginan itu, di Shah Alam tiga jam kemudian.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan