Lelaki Warga Benin Ditahan Di KLIA Bawa Syabu Dalam Labu Dilumur Darah Ayam

Diterbitkan: Rabu, 6 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah menggunakan buah labu dilumur darah ayam apabila menahan seorang lelaki warga Benin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lelaki berusia 38 tahun dari benua Afrika Utara yang disyaki 'keldai dadah' itu ditahan dalam pemeriksaan di KLIA pada pukul 5.15 petang.

Lelaki terbabit menaiki penerbangan Air France dari Paris ke Kuala Lumpur. Polis menemui empat kilogram dadah jenis syabu di dalam labu di dalam beg lelaki terbabit.

"Pada mula, kami menyangka ia (labu) digunakan untuk upacara pemujaan kerana terdapat kesan darah ayam dan bulu ayam, namun apabila diperiksa lanjut ada syabu di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, Rabu.

Noor Rashid berkata selain tangkapan itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita Aceh di Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor serta merampas serbuk dadah syabu seberat 36.5 kilogram dan 275,314 pil ecstasy daripada mereka, Ahad lepas.

Beliau berkata dua lelaki itu ditahan dalam sebuah rumah di Sekinchan pada 3 petang dan susulan maklumat daripada mereka, polis menahan wanita terbabit di sebuah rumah di Sabak Bernam kira-kira 3 jam kemudian.

Mereka yang berumur antara 21 dan 38 tahun itu dipercayai anggota sindiket yang beroperasi sejak setahun lepas dan memperoleh dadah dari luar negara sebelum menyeludupnya semula ke bandar-bandar besar di Indonesia termasuk Jakarta.

Noor Rashid berkata kesemua rampasan dadah dalam pemeriksaan di KLIA dan serbuan di Selangor itu bernilai RM18.5 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan