Kenderaan Curi Diseludup Ke Pontianak, Dihantar Semula Ke Sarawak

Diterbitkan: Jumaat, 1 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sejumlah 29 kenderaan yang dicuri dari Sarawak dan diseludup ke Pontianak, Indonesia akan dihantar semula ke negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Muhammad Sabtu Osman.

Beliau berkata kejayaan menemui semula kenderaan itu adalah hasil kerjasama polis Sarawak dengan polis di wilayah negara jiran itu.

"Kesemua kenderaan itu akan dibawa balik. Polis Sarawak juga telah menghantar anggota untuk membantu siasatan hasil penemuan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak (IPK) di sini, Jumaat.

Pada majlis sama, Muhammad Sabtu turut menyerahkan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 kepada 66 pegawai, anggota dan penjawat awam dalam pasukan.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata statistik indeks jenayah polis IPK Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jumaat, berjaya dikurangkan 11.23 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

"Bagi tempoh itu 6,859 kes dicatat berbanding 7,727 kes tahun lepas. Penurunan kes itu adalah hasil kejayaan operasi, rondaan anggota polis di samping kerjasama baik diterima daripada masyarakat.

"Oleh itu saya menyeru anggota polis untuk lebih dekat dan dampingi masyarakat dan dalam masa yang sama saya mengalu-alukan masyarakat untuk turut sama berbuat demikian dan terlibat dengan apa jua aktiviti anjuran polis," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan