Kegiatan Lanun di Selat Melaka Turun Mendadak

Diterbitkan: Jumaat, 1 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SITIAWAN: Kegiatan lanun di perairan Selat Melaka turun secara mendadak apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditubuhkan bagi mengawal perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata keberkesanan agensi itu dalam memastikan keselamatan perairan negara dapat dilihat apabila tiada kejadian rompakan melibatkan kapal-kapal dagang dilapor dalam tempoh 2009, 2010, 2012 dan 2013.

"Sebelum tahun 2004 hampir 40 kes kejadian lanun dilapor di perairan Selat Malaka...pada 2011 dua kejadian rompakan kapal dagang dikesan.

"Satu kumpulan daripada kes itu kami dapat tangkap dan didakwa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot PKFB (U2) 1575 yang dirompak rakyat Indonesia daripada wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Gentur Wicaksono.

Beliau berkata tumpuan kegiatan lanun dari Indonesia kini menjurus kepada golongan nelayan negara ini, dan mereka bukan sahaja merompak tetapi turut menculik nelayan-nelayan tempatan.

"Bukan sahaja bot dirampas malah perompak dari Indonesia juga meminta tuntutan ratusan ribu. Sekiranya pemilik bot bayar tuntutan itu, mereka ini (perompak) akan melepaskan nelayan-nelayan di bot berkenaan," katanya. Beliau berkata APMM dengan kerjasama Polisi Air Indonesia berjaya menyelesaikan tiga kes rompakan terhadap nelayan tempatan yang membabitkan penjenayah dari negara jiran itu tahun ini.

Tiga kes pada Februari, Mei dan Julai lepas itu turut melibatkan penahanan lima lelaki dan seorang perompak dipercayai terbunuh dalam kejadian tembak-menembak ketika serbuan dilakukan terhadap mereka, katanya.

Beliau berkata kesemua suspek itu dipercayai sindiket yang bergerak aktif dalam kegiatan rompakan di perairan Selat Melaka.

"Kerjasama antara APMM dengan agensi penguatkuasa Maritim luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand amat penting bagi APMM memantapkan lagi aspek penguatkuasaan, perisikan dan siasatan yang melibatkan jenayah rentas sempadan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Puzi berkata APPM menahan 627 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dengan anggaran jumlah rampasan berjumlah RM250 juta dari tempoh 2006 hingga kini.

Lebih 300 bot membabitkan nelayan Vietnam manakala selebihnya dari Thailand, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan