Lelaki Cuba Langgar Anggota Polis Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 31 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki yang cedera terkena tembakan di Bukit Cherakah dekat sini Rabu selepas bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya dan cuba melanggar anggota polis.

Dalam kejadian 1.40 pagi tersebut, suspek yang berumur 30 tahun itu dikesan memecut kenderaan Nissan Sunny ketika menghampiri lokasi sekatan jalan raya di Jalan Meru Tambahan, Meru, Klang.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar dalam sidang media di sini hari ini berkata dua anggota polis kemudian bertindak mengejar suspek sehingga ke Jalan 9, Felda Bukit Cherakah.

"Sebaik menyedari jalan mati, suspek bertindak nekad mengundurkan kenderaan itu dan cuba melanggar seorang anggota polis yang turun menuju ke arah kenderaan yang dipandu suspek.

"Anggota polis terbabit yang berjaya mengelak kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke arah kenderaan suspek namun suspek memecut kenderaannya menghala ke kawasan perkampungan berhampiran," katanya.

Beliau berkata anggota polis terbabit terus mengejar suspek sehingga menemui kereta suspek ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Jalan 2, Felda Bukit Cherakah.

Pemeriksaan terhadap kereta berkenaan mendapati cermin hadapan dan belakangnya pecah dipercayai terkena tembakan selain terdapat kesan darah pada bahagian gear dan kerusi pemandu, katanya.

"Hasil maklumat orang kampung, suspek berjaya ditahan di Jalan Besar, Bukit Cherakah dan terdapat kesan tembakan pada pergelangan tangan kiri suspek," katanya sambil menambah polis turut menemui kunci kereta terbabit di poket seluar suspek.

Suspek yang berasal dari Bukit Raja, Klang dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, katanya.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan mendapati kereta yang digunakan suspek dengan nombor pendaftaran BCG 3490 dilaporkan hilang di Bestari Jaya baru-baru ini.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan