Polis Buru Empat Lelaki Babit Kes Tipu RM885,000

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis Melaka memburu empat lelaki bagi membantu siasatan kes tipu membabitkan barangan elektrik dan elektronik bernilai RM885,000 di beberapa negeri sejak Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Ee Khong Koy berkata mereka dikenali sebagai Anthony Poon, 60-an; Ken Low, 60; Steve Lim dan C. T. Looi.

Mereka dikenal pasti susulan penahanan seorang lelaki berusia 53 tahun di Cheras, Kuala Lumpur, pada 16 Okt lepas, yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan itu, katanya dalam sidang media,Selasa.

Menurutnya sindiket itu yang dipercayai menjual barangan terbabit di pasaran gelap, beroperasi menerusi sebuah syarikat yang didaftarkan sebagai Usaha Astana Sdn Bhd di Taman Teknologi Chen.

"Modus operandi sindiket itu ialah membeli barangan daripada pembekal dengan cara tunai untuk dapatkan kepercayaan, kemudian membuat tempahan dalam jumlah yang besar melalui cek 'post-dated' sebelum menghilangkan diri," katanya.

Katanya sindiket berjaya memperdaya 17 pembekal di Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor yang hanya menyedari mereka ditipu ketika cuba menunaikan cek terbabit apabila pihak bank memaklumkan duit dalam akaun berkenaan tidak mencukupi untuk pembayaran.

Mengulas kes lain, Ee berkata polis juga sedang mengesan seorang pengurus syarikat pembalakan di Bukit Rambai di sini, bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM28,000.

Chye Chong Fung, 45, yang beralamat terakhir di No 7, Jalan Bukit Renggam, Simpang Renggam, Johor, menghilangkan diri selepas menyedari pihak syarikat mengesan wujud unsur pecah amanah di syarikat itu pada 9 Julai lepas.

Dia turut melarikan kenderaan pacuan empat roda milik syarikat bernilai lebih RM90,000, kata Ee.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan