Suspek Kes Tikam Direman Tujuh Hari

Diterbitkan: Jumaat, 25 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suspek dalam kes tikam yang meragut dua nyawa dan mencederakan dua lagi berhampiran Stesen Putra LRT Taman Gombak dan Taman Melati di sini pada Khamis, direman tujuh hari bermula Jumaat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairy Ahrasa memberitahu Bernama, suspek berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pisau Rambo mengamuk hingga menyebabkan dua lelaki terbunuh dan dua wanita cedera parah.

Lelaki yang bekerja dengan sebuah syarikat rokok itu telah ke sebuah kedai runcit di LRT Taman Gombak sebelum menikam pemilik kedai runcit itu, Lau Siew Ling, 49, dan pembantunya, Suliani Johari,31, menyebabkan mereka parah.

Suspek kemudian memandu vannya menuju ke Stesen Putra LRT Taman Melati, kira-kira tiga kilometer dari situ, sebelum melanggar sebuah van lain dan menikam pemandunya Lee Kah Ghee, 40, beberapa kali di bahagian dada.

Lee meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek kemudian memandu vannya dan melanggar sebuah kereta lagi sebelum menikam sehingga mati pemandu lelaki berusia 25 tahun yang cuba melarikan diri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan